Ibarat bulan jatuh ke riba, Elizabeth Tan menganggap penerimaan meluas terhadap video yang dimuatnaik olehnya di laman sosial Youtube sebagai satu bonus buat dirinya. Ini yang mana secara tidak langsung berjaya membuka ruang untuknya menapak dalam persada seni tempatan.
“Saya sememangnya dari dulu lagi berminat untuk menjadi sebahagian daripada industri seni ini. Tidak sangka video cover lagu ‘Havoc’ yang dimuat naik ke laman YouTube berjaya mendapat sambutan ramai kerana saya hanya menganggapnya sebagai satu hobi.
Jika diikutkan minat, saya lebih meminati bidang lakonan berbanding bidang nyanyian. Saya anggap bidang nyanyian seperti platform untuk saya mencapai impian untuk menjadi seorang pelakon. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem karya Mamat Khalid,” ujar Elizabeth ketika ditemui di majlis pelancaran ‘Aku Ikon Patriktok’ yang bertempat di Perkarangan Sri Pentas Bandar Utama, Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut Elizabeth, dia sememangnya meminati bidang lakonan, namun perlu memperbaiki penguasaan Bahasa Melayunya yang mana pemahamannya dalam bahasa tersebut agak terhad. Bagi Elizabeth, penglibatannya sebagai salah satu teraju utama bagi filem 'Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium' sedikit sebanyak membuka matanya untuk lebih fasih berbahasa Melayu.
“Saya begitu gembira kerana dipilih sebagai salah seorang teraju utama dalam filem tersebut namun sedikit sebanyak ianya membuka mata saya untuk lebih banyak membaca dalam Bahasa Melayu kerana saya mengakui kelemahan saya dalam bahasa tersebut.
Malah ketika di awal pembabitan saya dalam dunia lakonan, saya turut berasa tertekan dengan pelbagai komen yang dilemparkan kepada saya. Bagaimanapun, saya berfikiran positif. Saya tahu tidak semua orang akan menyukai kita. Selain itu, saya mengambil perhatian komen-komen yang diberikan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik,” ujar Elizabeth lagi.
Gadis berusia 21 tahun ini juga baru sahaja tamat pengajian di Texas, Amerika Syarikat selama dua tahun dan merancang untuk mengambil serius bidang seni sebagai kerjaya.
Sumber : www.gua.com.my
No comments:
Post a Comment